30 Jul, 2009
IPM di Sweet Beach Resort, Tok Bali Kelantan
Alhamdulillah, 27 hingga 29 Julai, dua program bertembung, satu di Port Dickson, satu lagi di Kelantan. Us Azlan Abd Jalil selaku ketua team ‘Kelantan’ ditemani dengan saudara Azuhan, Leh, dan Hassan telah bertolak ke Kelantan pada jam 1.40 pagi 27 Julai 2009. Kami berempat tiba di Sweet Beach Resort, Tok Bali, Kelantan pada 27 Julai 2009 sekitar jam 9 pagi. Pendaftaran peserta diuruskan oleh pihak Felcra Negeri Kelantan pada jam 12 tengahari, jadi di kesempatan masa yang ada, kami sempat berehat untuk mengecas semula tenaga yang hilang kerana keletihan disebabkan perjalanan yang memakan masa selama 6 jam.
IP Minda telah memulakan operasi dari ‘hati ke hati’ bermula jam 2.30 petang sehinggalah ke penghujung program yang diberi nama “Kursus Pemantapan Minda Insan-Ke Arah Pembentukan Jati Diri Pekebun Kecil”. Kursus ini dianjurkan oleh pihak FELCRA Negeri Kelantan dan dikelolakan oleh pihak IP Minda sendiri. Alhamdulillah para peserta yang terdiri daripada kalangan remaja yang berusia belasan tahun sehinggalah yang berumur sekitar 70-an memberikan kerjasama yang baik sepanjang kursus.
Pada awalnya, jumlah peserta hanya 60 lebih sahaja, tetapi Alhamdulillah pada sebelah malamnya, jumlah peserta telah meningkat seramai 84 orang. Pada hari kedua kursus, jumlah peserta meningkat lagi menjadikan jumlah keseluruhan peserta seramai 89 orang. Walaupun usia yang berlainan, tahap pemikiran yang berlainan, namun Us Azlan telah berjaya menimbulkan rasa ukhuwah yang mendalam di kalangan para peserta tanpa mengenal usia dan darjat. Buktinya, setiap aktiviti dan permainan berfalsafah yang dijalankan menampakkan rasa ‘kekeluargaan’ di antara satu sama lain dalam setiap kumpulan, minda mereka semakin positif dengan setiap gerak kerja yang mereka lakukan. Minda positif inilah yang cuba disemai agar keluarnya mereka daripada program ini dapat mempraktikkan minda positif yang sama dalam kehidupan harian mereka.
Kursus ini deceriakan lagi dengan alunan lagu “Kau dan Aku” dan “Keluarga Bahagia” yang dinyanyikan oleh saudara Hassan secara live. Di saat perpisahan,terasa berat di hati kami untuk meninggalkan pak cik, mak cik, ayah, ibu, abang, adik, kakak yang menyertai kursus ini, itulah bibit ukhuwah yang terbina selama 3 hari 2 malam, namun cinta dan kasih kerana Allah tersemat di sanubari. Semoga kita bertemu lagi insya-Allah…










